web stats

TITAH SULTAN SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UBD KE 23

TTitah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah  Mu'izzaddin Waddaulah  ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah di Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Brunei Darussalam  Bagi Tahun 1432 Hijrah/2011 Masihi pada hari Khamis, 1 Zulkaedah 1432 Hijrah bersamaan 29 September 2011 Masihi  di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,  Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een,   Waba’du.

Bersyukur  beta  kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat hadir untuk menyempurnakan Majlis Konvokesyen  Kali Yang Ke-23 Universiti Brunei Darussalam.  Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan dan penerima sijil di ataskejayaan mereka masing-masing dalam menamatkan pengajian di universiti ini.  Para graduan adalah aset berharga, mereka turut membantu untuk pembangunan masyarakat dan negara. Meraka dikehendaki terus lahir, namun bilangan yang ramai sahaja belumlah memadai, tanpa kualiti yang mencukupi.  Mengenai kualiti ini, ia tidaklah boleh dicapai, melainkan dengan usaha jua dan dengan wawasan untuk selalu meningkat. Kalau daya usaha sejuk, janganlah mimpi untuk sampai ke kemuncak.  Disinilah para graduan dicabar untuk melihat ke dalam diri masing-masing, serta dengan penuh berani memilih sikap lebih dewasa.  Ini bermakna, para graduan akan terus meningkat jadi pemikir, bukan lagi setakat remaja biasa. Inilah yang kita mahukan, untuk melahirkan generasi berwibawa.

Tanda kewibawaan orang dewasa itu, mereka adalah serba liat dan tidak mudah mengalah. Misalnya apabila para garduan mencari pekerjaan, mereka tidaklah cepat berputus asa jika lambat dapat, tetapi terus mencari dan mencari, sambil bersikap tidak memilih pekerjaan. Inilah satu dari ciri orang terpelajar itu. Sebelum lagi jadi pemimpin, dia sudah mula menjalani 'amali kepimpinan'. Tidakkah ini satu kelebihan dari pemilik syakhsiah yang hebat? Tidak syak lagi, syakhsiah macam ini adalah 'syakhsiah besar'.  Inilah yang kita mahukan, UBD sebagai institusi pengajian tinggi akan dapat mengeluarkan peribadi-peribadi yang hebat, selaku tokoh ilmuan yang mampu memahami aspirasi zaman. Namun zaman itu, bukanlah ia patut mencorakkan kita, tetapi kitalah yang mencorakkan zaman.  Kita boleh akur dengan kemajuan zaman, tetapi bukan semua yang bernama kemajuan itu boleh ditelan bulat-bulat, seperti juga halnya dengan makanan, bukan semua bahan boleh dimakan, malah ada juga, setakat menyentuhnya pun kita dilarang.

Disinilah cabaran itu, cabaran kepada para graduan dan malah cabaran kepada pihak pentadbir UBD sendiri. Mereka mestilah memahami dan menggunakan 'neraca ilmu' untuk menilai kemajuan, bukannya seperti 'pirana'  terhadap kemajuan. Kerana kemajuan banyak jenis kemajuan : ada kemajuan tingkat tinggi dan bersifat mulia, di samping ada juga kemajuan yang hanya layak dianggap rubbish kemajuan.  Dalam perkara kemajuan ini, beta turut mengalu-alukan langkah UBD untuk memiliki bidang kepakarannya, berkongsi dengan pihak-pihak tertentu, seperti perkongsian kepakaran dan penyelidikan dengan  International Business Machine atau lebih dikenali sebagai IBM, sebuah konglomerat terkenal di dunia dan hubungan dengan Korea Advanced Institute of Science and Technology yang mempunyai kepakaran dalam bidang e-Kerajaan yang membawa kepada penubuhan e-Government Innovation Centre; iCUBE, sebuah konsortium yang diasaskan oleh UBD, yang mempunyai ahli terdiri daripada universiti-universiti terkemuka antarabangsa yang menjalin hubungan kolaborasi penyelidikan dalam isu biodiversiti dan alam sekitar dan lain-lain lagi.

Dalam usaha pengembangan UBD, jika tidak silap beta, sudah pernah mengingatkan mengenai peranan tenaga akademik di universiti ini, bukan sahaja terhad kepada bidang mengajar semata-mata, malahan juga perlu aktif dalam menjalankan penyelidikan dan penerbitan artikel-artikel. Penyelidikan yang substantif akan memberi kesan meluas.  Demikian juga artikel-artikel itu perlu diusahakan untuk dimuat ke dalam top-tiered journal, supaya ianya dapat menampilkan nama UBD di arena antarabangsa.  Sehubungan ini, beta juga amat teringin untuk melihat, walau sekecil mana sekalipun, hasil kajian atau ciptaan oleh UBD, tidak kira ia datang daripada pensyarah ataupun penuntut, atau dari mana-mana jua pihak di dalam kerajaan.  Beta sebutkan satu contoh kecil di sini : Siapakah dalam negara ini yang telah pernah membuat satu kajian tentang herba-herbaan? Mana kajian kita terhadap ulam pegaga? Terhadap pucuk pawas dan bunga kunyit? Siapakah setakat ini yang pernah mengkajinya? Pada hal kita orang Brunei sudah memakannya semenjak dari ratusan tahun lagi, tetapi sampai sekarang, siapakah orang kita yang sudah melakukan kajian saintifik tentang kandungan dan khasiat benda-benda ini?.Ini baru satu contoh kecil sahaja, tetapi cabarannya cukup besar untuk kita.

Khusus bagi UBD, cabaran itu mahu tidak mahu turut melibatkan tenaga-tenaga akademik selaku penggerak dan pembimbing ke arah aktiviti-aktiviti penyelidikan di kalangan penuntut.




Thank you for your attention