TITAH Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei
Darussalam Ke-29.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa
Waddeen,Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina
Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
KITA bersyukur ke
hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat lagi menyambut Ulang
TahunHari Kebangsaan kita. Sambutan pada kali ini ialah sambutan yang ke
29. Ulang tahun itu kita peringati kerana ia adalah sejarah kita, sejarah menjawat kemerdekaan. Kita jawat kemerdekaan itu dengan takbir Allahu Akbar iaitu suatu cara tersendiri yang tidak pernah berlaku di mana-mana.
Cara ini tentu saja tidak kosong
daripada hikmah. Malah beta melihatnya sebagai satu alamat baik kepada
Brunei, yang kini sudahpun jadi kenyataan dikenali sebagai Negara Zikir
atau Negara MIB. Begitulah, semua itu berlaku tentu saja dengan izin dan kehendak Allah jua. Dengan berkat kalimat Allahu Akhbar
kemerdekaan tanah air telah membuahkan hasil yang sangat lumayan berupa
keamanan dan kemakmuran serta Ugama Islam bersinar-sinar menjadi
pegangan dan amalan di Negara Brunei Darussalam. Begitu juga dengan berkat kalimat ini, kita telah ditakdirkan dapat melakukan beberapa tanggungjawab besar untuk negara.
Ini semua, kita jangan lupa berlaku
dalam era setelah merdeka. Mengingat ini, kita sepatutnya akan
lebih-lebih lagi menyayangi kemerdekaan itu.Tanda orang sayang sangatlah mudah
dikenali. Hatinya telus kepada bangsa dan budinya pula luhur, suka
berjasa. Dia tidak mahu dilihat sebagai lemah manakala berlaku sesuatu
kepada negaranya. Inilah dia sikap yang patut dimiliki oleh setiap diri individu yang bernama rakyat jelata.
Rakyat jelata yang sensitif lagi
patriotik sangatlah diperlukan oleh negara terutama mereka yang dari
kalangan generasi muda serta para belia kerana mereka itu adalah pewaris
masa depan kita. Masa depan akan suram jika mereka itu
tidak terlibat membina negara. Mereka mesti turut berkecimpung dalam
setiap aktiviti kenegaraan sekurang-kurangnya menjadi penyumbang moral
yang aktif.
Contoh sumbangan moral itu ialah seperti
menjadi rakyat yang baik, yang ikhlas lagi amanah serta taat dan
mematuhi undang-undang dan tidak membebani negara dengan
perbuatan-perbuatan anti sosial atau asyik dengan berseronok-seronok
semata-mata.
Berseronok yang melampau-lampau boleh
melemahkan jentera masyarakat kerana tiada apa yang dapat ditunggu
daripadanya kecuali kerugian jua. Kerana itu, menurut kaum cerdik pandai
untuk menjadi bangsa yang maju dan kuat, kenalah kita mengurangkan
berseronok dan menggantikannya dengan banyak bekerja dan berfikir. Elakkan dari menurutkan rasa hati tanpa banyak menimbang dan berfikir dan ingatlah bahawa berfikir itu adalah mahkota hidup.
Atas rasional inilah, kerajaan beta
menguatkan pendidikan iaitu selaku pemangkin kepada kemajuan. Komitmen
kerajaan dalam bidang ini adalah menyeluruh untuk sekalian rakyat tanpa
mengira suku atau kaum.
Ia juga adalah antara objektif Wawasan
2035 untuk melahirkan rakyat terpelajar lagi berkemahiran sebagai pra
syarat membolehkan kita bersaing ditengah-tengah kemajuan global. Beta mahu biarlah rakyat responsif terhadap usaha-usaha kerajaan untuk negara. Sekurang-kurangnya mereka itu dapat
memahami aspirasi kerajaan melakukan sesuatu rancangan itu. Mereka tidak
boleh lepas pandang atau berkata tidak tahu kerana perbuatan lepas
pandang atau berkata tidak tahu itu adalah amat memalukan bagi suatu
bangsa yang sedang membangun.
Dalam era perlumbaan hari ini, kita
selaku rakyat tidaklah boleh tercicir dari turut mendukung gagasan
negara. Jika tercicir, bermakna kita tertinggal di belakang dan
terpinggir. Siapapun juga, mestilah turut berkayuh
menuju matlamat yang dituju. Jangan ada yang angkat pengayuh atau enggan
berkayuh tetapi mesti sama-sama berkayuh barulah namanya kita sejiwa
mencipta masa depan yang cerah.
Pada tahun ini saja, ada beberapa rancangan besar yang memerlukan komitmen rakyat. Dalam perkara agama, kita sudahpun
menguatkuasakan 'Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012' yang melibatkan
seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam. Kemudian seiringan itu
kita juga telah berjaya mewujudkan 'Perintah Kanun Hukuman Jenayah
Syar'iah' yang memerlukan dukungan dan sokongan penuh rakyat. Demikian juga kita telah menguatkuasakan
peraturan menutup sementara premis-premis perniagaan pada hari Jumaat
sehingga selesai menunaikan Fardu Juma'at.
Ini semua adalah langkah-langkah besar
ke arah peningkatan. Sayugia diingat bahawa kita membangun adalah
meliputi pembangunan fizikal dan rohani. Malah pembangunan jenis kedua
inilah yang lebih-lebih lagi dituntut kerana impaknya mencakup dua
keuntungan sekaligus: keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat.
Sebab itu, adalah sedikit dikesali jika
terdapat pendirian kurang gembira dengan peraturan ini dengan
menganggapnya sebagai menjejaskan ekonomi.
Beta sudahpun menyebut bahawa peraturan ini penting untuk menjaga imej negara dan juga imej Islam sendiri.
Kedua-duanya itu kita mahu supaya terpelihara dan sentiasa indah. Ini sama halnya apabila kita melarang
dari dihidangkan arak di dalam penerbangan, ada yang berkata rugi kerana
penerbangan akan dikhuatiri tidak laku. Tetapi orang tidak ingat
keuntungan di akhirat dan keuntungan rahmat serta berkat daripada Allah
Subhanahu Wata'ala. Dan malah orang tidak nampak bahawa dengan kehendak
Allah jua penerbangan yang menghidangkan arak pun boleh juga rugi,
bahkan lebih besar kerugian daripada kita yang tidak menghidangkan arak. Ini membawa makna, perkiraan untung rugi
itu adalah semata-mata relatif jua di mana yang betulnya kita hendaklah
menerima dan membuat apa-apa jua yang terbaik dengan berpandukan janji
Allah Subhanahu Wata'ala.
Inilah cara kita mengisi kemerdekaan sambil mensyukurinya. Kita boleh isi ia dengan seberapa banyak
jua rancangan atau aktiviti yang berkebajikan, insya-Allah kita dan
negara tidak akan dihampakan.
Akhirnya, beta dengan ikhlas merakamkan
ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa
Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-29
Hari Kebangsaan dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha
untuk menjayakan perayaan ini. Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada semua lapisan rakyat termasuk semua peringkat warga
Perkhidmatan Awam meliputi mereka yang bertugas di luar negara,
Pasukan-Pasukan Keselematan serta mereka yang berkhidmat di sektor
swasta dengan iringan doa semoga Allah memberkati kita dan negara. Amin.