BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengajak umat
Islam berazam untuk sentiasa menang dalam melawan hawa nafsu kerana
dengannya bererti kita telah layak menjadi ‘orang besar’ lagi berpangkat
di sisi Allah.
Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri bagi tahun
1434H/2013M, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, Allah Yang Maha
Besar telah pun memelihara kita dari dikalahkan oleh hawa nafsu jahat
yang sentiasa mengajak kepada mengingkari perintahnya. Inilah kemenangan
kita yang paling bererti pada hari ini.
Kemenangan ini, hanya boleh diperolehi oleh mereka
yang berjaya menamatkan ibadat puasa sebulan genap. Memang bukan mudah
untuk memperoleh kemenangan ini, kecuali bagi mereka yang benar-benar
istiqamah sahaja.
“Kita orang Islam wajib berazam untuk sentiasa menang: menang ke atas
musuh Allah iaitu syaitan. Apabila menang, bererti kita telah layak
untuk menjadi ‘orang besar’ lagi berpangkat di sisi Allah.“Tidak salah untuk mengejar pangkat di sisi Allah. Jika untuk
kemegahan di dunia orang berlumba, mengapakah untuk kelebihan di akhirat
kita tidak berlumba?”
Dalam hidup di dunia ini, semua orang
menginginkan ketinggian : Tinggi pangkat, tinggi kelulusan dan tinggi
kekayaan. Jadi mengapa bagi kehidupan di akhirat kita tidak menginginkan
ini? “Nikmat di dunia akan hilang berbanding nikmat di akhirat kekal
abadi. Namun untuk memperoleh nikmat yang kekal ini, memerlukan adanya
usaha dan pengorbanan. Ia bukan boleh dicapai dengan berpeluk tubuh atau
memadai dengan menggantungkan cita-cita setinggi langit. Adapun nikmat
yang dijanjikan oleh Allah itu hanyalah tertentu kepada mereka yang
beramal soleh sahaja.
“Jadi ternyata amal soleh itu di sini adalah prasyarat untuk
memperoleh rahmat dan nikmat Allah. Jika kita melakukannya, faedahnya
bukan sahaja bagi diri sendiri, malahan juga menyeluruh untuk masyarakat
dan negara. Tidakkah kalau amal soleh itu dilakukan oleh semua orang,
nescaya masyarakat dan negara pasti akan aman dan sejahtera.
“Mengapa Beta katakana demikian? Kerana bukankah amal soleh itu
bermakna segala pekerjaan yang baik dan berkebajikan belaka? Jika betul
ia berlaku di dalam sesebuah negara, maka sudah barang tentu negara
tersebut akan bebas dan bersih daripada segala gejala buruk.
“Negara yang berpaksikan amal soleh, tidak syak lagi, tidak akan
wujud di dalamnya orang minum arak, orang mencuri, orang melakukan
rasuah, orang menghisap dadah, orang berjudi dan seumpamanya.
Dan apabila tidak ada semua ini, bukankah negara dan masyarakat yang
seperti itu adalah negara dan masyarakat yang sihat lagi sejahtera.
Kerana itulah Beta amat menyesali, apabila mendengar dan membaca
berita-berita yang tidak bagus, seperti orang tertangkap kerana berjudi,
dan perkara itu pula telah berlaku di dalam bulan Ramadhan.
Ingat, maksiat yang dilakukan oleh orang Islam dalam bulan Ramadhan,
adalah itu bererti menghinakan bulan yang mulia ini, dan sama juga
menghinakan Islam sendiri, kerana bukankah syara’ telah menuntut supaya
Ramadhan itu dibesarkan dengan ibadat-ibadat kepada Allah: Dengan
berpuasa, membaca Al-Quran, bertarawih dan lain-lain.
Ibadat puasa menghendaki kita menahan diri, terutama daripada makan
atau minum, sehingga apabila seorang Muslim didapati makan atau minum di
khalayak ramai, maka orang itu akan dianggap melakukan kesalahan yang
boleh didakwa di mahkamah.
Tujuan dari undang-undang ini adalah semata-mata demi memuliakan
Ramadhan, di samping juga untuk menjadi peringatan dan pendidikan kepada
orang-orang Islam supaya tetap memelihara maruah ugama dan diri mereka
selaku orang Islam.
Ini menurut hukum syara’ turut menjadi kesalahan yang sama jika orang
Islam itu menghidangkan atau memberi makan atau membenarkan orang bukan
Islam makan atau minum di dalam rumah atau di premis-premis makanan
milik orang Islam, kerana ia juga dianggap sebagai menghina dan
menjatuhkan maruah ugama orang Islam itu sendiri.
Dalam soal ini, tidak berbangkit sama sekali, perkara melarang
orang-orang bukan Islam, makan dan minum di premis-premis mereka
sendiri, kecuali jika ada sebab-sebab tertentu menurut peraturan. Negara kita Brunei Darussalam telah pun benar-benar sebati dengan
Islam sebagai cara hidup. Dengan Islam itu, Brunei bukan sahaja berjaya
membangun, malah juga lebih daripada itu, berupaya mengekalkan keamanan
dan kemakmuran. Rakyat juga hidup dengan rukun damai, harmoni dan
bersatu padu. Apakah yang lebih hebat dan lebih utama dari ini, berbanding di
tempat-tempat lain, perkara keamanan itu sangatlah sukar untuk dicapai
kerana pertelagahan-pertelagahan ideologi menjadi puncanya. Marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat ini, dan berazam untuk memeliharanya terus menerus, dengan sepenuh jiwa dan raga kita.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan
Selamat Hari raya Aidilfitri kepada sekalian rakyat dan penduduk dimana
saja mereka berada, semoga kita dapat menyambut ‘hari besar’ ini dalam
suasana riang gembira dan bahagia.