web stats

Pemberian, Sedakah dan Hadiah

Pemberian dikenali sebagai Hibah dalam bahasa Arabnya,  ianya bermaksud memberi sesuatu dengan percuma secara sukarela hati bagi menjadikan ianya milik orang lain.  Dalam hal ini sesuatu yang diberikan itu tidaklah berkehendakan bayaran atau balasan daripada orang yang menerima.  Perlu juga diingat bahawa sesuatu yang diberikan itu mestilah benda yang suci, ada manafaatnya, barang yang diberikan itu dapat diserahkan kepada penerimanya serta ada dalam milik dan kekuasaan pemberi .  Oleh itu, dari segi pandangan dan kaca mata Islam kedudukan pemberian adalah SUNNAT hukumnya.  Ianya mengandungi berbagai tujuan antaranya:
  • Pemberian kepada KELUARGA tujuannya untuk mengeratkan hubungan silaturahim.
  • Pemberian kepada SAHABAT tujuannya untuk mengukuhkan hubungan persahabatan.
  • Pemberian kepada ULAMA dan AHLI IBADAT tujuannya untuk mengambil berkat (Tabaruk) dan mendekatkan diri kepada agama.
  • Pemberian orang kaya kepada ORANG MISKIN tujuannya untuk memberi manfaat kepada orang miskin.
  • Pemberian kepada ORANG MEMBERI PERTOLONGAN tujuannya untuk menghargai pertolongannya.
  • Pemberian kepada MUSUH tujuannya untuk berbaik-baik.
Sedakah merupakan suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapatkan pahala dan untuk menolong orang yang berhajat.  Oleh itu adalah harus hukumnya diberikan sedakah kepada orang kaya dan orang yang memberikan itu mendapat pahala jika maksudnya untuk mendekatkan diri kepada Agama.  Tetapi  pemberian itu tidak dinamakan sedakah jika ia diberikan kepada orang kaya dengan tidak ada maksud untuk mendakatkan diri kepada Agama.  Pemberian yang dilakukan kerana pertolongan orang yang berhajat adalah dinamakan sebagai sedakah, seperti orang itu susah dan ia meminta pertolongan untuk keperluan dirinya.  Manakala Hadiah adalah merupakan satu pemberian yang diberikan kepada penerima yang bertujuan untuk memuliakan penerimanya.

Berdasarkan di atas iaitu dalam melakukan pemberian sama ada dari segi sedakah mahupun dari segi hadiah apa yang paling penting sekali dalam melakukan perbuatan itu adalah SIFAT NIAT IKHLAS semata-mata kerana Allah.  Jika niat itu bercampur dengan sesuatu yang lain daripada Allah, maka keikhlasan pada niat itu menjadi cacat.  Sepertiman Firman Allah dalam Surah Al Bainah ayat 5 yang terjamahannya : " Dan mereka tidak di perintahkan oleh Allah kecuali untuk berbuat Ibadat kepada Allah dengan Niat yang tulus Ikhlas semata-mata kerana Allah".