Titah Sultan Brunei Sempena Hari Raya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengajak umat Islam berazam untuk sentiasa menang dalam melawan hawa nafsu kerana dengannya bererti kita telah layak menjadi ‘orang besar’ lagi berpangkat di sisi Allah.

Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1434H/2013M, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, Allah Yang Maha Besar telah pun memelihara kita dari dikalahkan oleh hawa nafsu jahat yang sentiasa mengajak kepada mengingkari perintahnya. Inilah kemenangan kita yang paling bererti pada hari ini.
Kemenangan ini, hanya boleh diperolehi oleh mereka yang berjaya menamatkan ibadat puasa sebulan genap. Memang bukan mudah untuk memperoleh kemenangan ini, kecuali bagi mereka yang benar-benar istiqamah sahaja.

“Kita orang Islam wajib berazam untuk sentiasa menang: menang ke atas musuh Allah iaitu syaitan. Apabila menang, bererti kita telah layak untuk menjadi ‘orang besar’ lagi berpangkat di sisi Allah.“Tidak salah untuk mengejar pangkat di sisi Allah. Jika untuk kemegahan di dunia orang berlumba, mengapakah untuk kelebihan di akhirat kita tidak berlumba?”

Dalam hidup di dunia ini, semua orang menginginkan ketinggian : Tinggi pangkat, tinggi kelulusan dan tinggi kekayaan. Jadi mengapa bagi kehidupan di akhirat kita tidak menginginkan ini? “Nikmat di dunia akan hilang berbanding nikmat di akhirat kekal abadi. Namun untuk memperoleh nikmat yang kekal ini, memerlukan adanya usaha dan pengorbanan. Ia bukan boleh dicapai dengan berpeluk tubuh atau memadai dengan menggantungkan cita-cita setinggi langit. Adapun nikmat yang dijanjikan oleh Allah itu hanyalah tertentu kepada mereka yang beramal soleh sahaja.

“Jadi ternyata amal soleh itu di sini adalah prasyarat untuk memperoleh rahmat dan nikmat Allah. Jika kita melakukannya, faedahnya bukan sahaja bagi diri sendiri, malahan juga menyeluruh untuk masyarakat dan negara. Tidakkah kalau amal soleh itu dilakukan oleh semua orang, nescaya masyarakat dan negara pasti akan aman dan sejahtera.

“Mengapa Beta katakana demikian? Kerana bukankah amal soleh itu bermakna segala pekerjaan yang baik dan berkebajikan belaka? Jika betul ia berlaku di dalam sesebuah negara, maka sudah barang tentu negara tersebut akan bebas dan bersih daripada segala gejala buruk.

“Negara yang berpaksikan amal soleh, tidak syak lagi, tidak akan wujud di dalamnya orang minum arak, orang mencuri, orang melakukan rasuah, orang menghisap dadah, orang berjudi dan seumpamanya.
Dan apabila tidak ada semua ini, bukankah negara dan masyarakat yang seperti itu adalah negara dan masyarakat yang sihat lagi sejahtera. Kerana itulah Beta amat menyesali, apabila mendengar dan membaca berita-berita yang tidak bagus, seperti orang tertangkap kerana berjudi, dan perkara itu pula telah berlaku di dalam bulan Ramadhan.

Ingat, maksiat yang dilakukan oleh orang Islam dalam bulan Ramadhan, adalah itu bererti menghinakan bulan yang mulia ini, dan sama juga menghinakan Islam sendiri, kerana bukankah syara’ telah menuntut supaya Ramadhan itu dibesarkan dengan ibadat-ibadat kepada Allah: Dengan berpuasa, membaca Al-Quran, bertarawih dan lain-lain.

Ibadat puasa menghendaki kita menahan diri, terutama daripada makan atau minum, sehingga apabila seorang Muslim didapati makan atau minum di khalayak ramai, maka orang itu akan dianggap melakukan kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah.

Tujuan dari undang-undang ini adalah semata-mata demi memuliakan Ramadhan, di samping juga untuk menjadi peringatan dan pendidikan kepada orang-orang Islam supaya tetap memelihara maruah ugama dan diri mereka selaku orang Islam.

Ini menurut hukum syara’ turut menjadi kesalahan yang sama jika orang Islam itu menghidangkan atau memberi makan atau membenarkan orang bukan Islam makan atau minum di dalam rumah atau di premis-premis makanan milik orang Islam, kerana ia juga dianggap sebagai menghina dan menjatuhkan maruah ugama orang Islam itu sendiri.

Dalam soal ini, tidak berbangkit sama sekali, perkara melarang orang-orang bukan Islam, makan dan minum di premis-premis mereka sendiri, kecuali jika ada sebab-sebab tertentu menurut peraturan. Negara kita Brunei Darussalam telah pun benar-benar sebati dengan Islam sebagai cara hidup. Dengan Islam itu, Brunei bukan sahaja berjaya membangun, malah juga lebih daripada itu, berupaya mengekalkan keamanan dan kemakmuran. Rakyat juga hidup dengan rukun damai, harmoni dan bersatu padu. Apakah yang lebih hebat dan lebih utama dari ini, berbanding di tempat-tempat lain, perkara keamanan itu sangatlah sukar untuk dicapai kerana pertelagahan-pertelagahan ideologi menjadi puncanya. Marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat ini, dan berazam untuk memeliharanya terus menerus, dengan sepenuh jiwa dan raga kita.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari raya Aidilfitri kepada sekalian rakyat dan penduduk dimana saja mereka berada, semoga kita dapat menyambut ‘hari besar’ ini dalam suasana riang gembira dan bahagia.