TITAH SULTAN DAN MAJLIS SEMPENA FIRST UNISSA CONVOCATION.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Haflut Takharruj Pertama 2011, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari Khamis, 7 Zulhijjah 1432 / 3  November 2011  bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dipertemukan dalam Majlis Haflut Takharruj Pertama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung pada hari ini.  Beta dengan hati yang putih ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para graduan yang akan menerima ijazah mereka masing-masing.  Tahniah juga kepada para pensyarah dan ibu bapa di atas asuhan dan dorongan mereka kepada pelajar-pelajar, sehingga tercapai cita-cita semua.  Beta amatlah bangga dengan kelahiran pertama graduan UNISSA.  Dengan ini, bertambahlah lagi sumber tenaga manusia yang berilmu.  Pertambahan ini tentu saja menjadi tanda kualiti sosial kian meningkat.  Oleh itu ia patutlah disyukuri, sesuai dengan moto universiti, Melahirkan Insan Yang Berilmu dan Bertaqwa.

Ke arah merealisasikan moto tersebut, kerajaan beta sentiasa melihat, betapa pentingnya bidang ugama diambil berat untuk mengekalkan kecemerlangan yang ada.  Kerana itu pendidikan dan pengajian ugama itu tidaklah pernah diabaikan, bahkan terus dipertingkatkan.  Sehubungan ini, beta berharap, para graduan lulusan Universiti Islam Sultan Sharif Ali tidaklah ketinggalan dalam usaha memelihara kecemerlangan dan peningkatan ilmu.  Mereka ini boleh berbuat perkara tersebut, dengan cara, sama ada memilih untuk berkhidmat atau meneruskan pengajian.  Kerajaan beta tetap menggalakkan peningkatan ilmu, terutama ilmu Islam tulen yang tidak dicemari sebarang gejala negatif.  Dasar ilmu semuanya baik, tetapi ilmu Islam adalah indung ilmu.  Ia membawa kita sehingga ke dasar tujuan, untuk menemui kebenaran.  Kebenaran dalam ilmu bernama ‘kebajikan’, dan kebajikan pula adalah landasan untuk menyampaikan kita kepada kehidupan yang bahagia, sama ada di dunia mahupun di akhirat.  Inilah dia ilmu Islam itu.  Jika ia tetap murni tidak dicemari oleh sebarang unsur yang berlawanan dengannya, maka ia akan menyelamatkan pemiliknya dan juga menyelamatkan masyarakat. Beta berharap, UNISSA bukan saja unggul di buminya sendiri Brunei Darussalam, malahan juga mampu untuk menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa yang dihormati.  Maka untuk itu UNISSA perlulah melengkapkan dirinya dengan segala keperluan, termasuk memiliki tenaga-tenaga akademinya, yang berstatus ‘Profesor Madya’ dan ‘Profesor’ dalam bidang keugamaan.

Selain menggarap ilmu-ilmu keislaman di bilik-bilik kuliah, UNISSA juga tidak ada salahnya mempunyai program-program praktikal, seperti ‘program latihan industri’ untuk pelajar-pelajarnya di firma-firma kerajaan dan swasta.  Program seperti ini besar gunanya untuk membiasakan mereka dengan alam pekerjaan apabila tiba masanya kelak.  Demikian juga program-program yang bercorak kepimpinan, seperti melalui ko-kurikulum dan ‘khidmat masyarakat’ merupakan pelan strategik berkesan untuk melahirkan pemimpin.  Pelajar-pelajar yang tidak pernah didedahkan kepada program-program seumpama ini, akan menjadi warga yang kekok apabila berhadapan dengan masyarakat yang lebih besar.  Akhirnya, dalam kesempatan ini, beta ingin merakamkan perasaan amat gembira di atas kejayaan UNISSA menghasilkan para graduannya yang pertama, dan beta juga percaya, kejayaan ini tentunya
hasil dari usaha gigih pihak pentadbiran universiti di bawah pimpinan rektornya, serta juga sokongan padu daripada pelbagai pihak, terutama para ahli akademik universiti, Ahli-ahli Senat dan Majlis Universiti.  Syabas sekali lagi untuk mereka itu.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


video

video


Thank you for your attention