TITAH SULTAN SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN PERTAMA KUPUSB

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji  Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam  Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada hari Selasa 20  Zulkaedah 1432 Hijrah/19 Oktober 2011 Masihi bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,  Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KU PUSB).  Tahun 1432/2011 adalah merupakan tahun istimewa, kerana pada tahun inilah KU PUSB, selaku sebuah pusat pengajian dalam bidang perguruan agama, akan menghasilkan graduannya yang pertama.  Beta berharap, KU PUSB akan terus mengikut landasannya yang dihasratkan. Janganlah ia menyimpang ke mana-mana, tetapi biarlah terus konsisten selaku pusat perguruan agama tulen. Jangan sama sekali diabaikan tujuan perguruan ini, kerana di sini, ada tersirat matlamat khusus untuk dicapai.

Perguruan adalah perguruan, ia tidak sama dengan pengajian yang bukan perguruan. Perguruan sasarannya ialah pendidikan dan pendidikan pula bermaksud pembentukan : pembentukan peribadi, pemikiran dan jasmani. Ia juga boleh diiktibarkan sebagai acuan, jika bagus acuan, maka bagus pulalah yang  kita dapat. Demikianlah peranan KU PUSB itu selaku penyedia acuan, yang boleh dipanggil acuan pendidikan agama untuk anak bangsa.  Ianya akan melahirkan calon-calon pendidik agama yang berilmu, yang semestinya perlu mengikut acuan pendidikan yang sebenar-benarnya. Kerana itu adalah penting, di samping calon-calon ini menjadi tokoh ilmu, mereka juga mestilah menjadi tokoh pendidik yang sebenar-benarnya terdidik.

Maka untuk itu, usaha-usaha pendidikan sering turut dikaitkan dengan mata-mata pelajaran yang dianggap mustahak, seperti ilmu jiwa (psikologi) dan ilmu-ilmu berkaitan dengan memperbaiki hati, seperti ilmu tauhid, ilmu tasawuf dan seumpamanya.  Perkara ini ada benarnya, kerana yang hendak diasuh atau dibina itu bukanlah benda, tetapi manusia. Apabila disebut manusia, ia bukan semata-mata tubuh kasar, tetapi meliputi rohaninya, akalnya, perasaannya dan sikapnya.  Alangkah hebatnya seorang anak didik, apabila misalnya dia dapat meraih kehidupan bertakwa di tengah-tengah masyarakat dunia yang sedang rosak? Alangkah cantiknya seorang insan, apabila dia memiliki akhlak yang mulia, di samping tubuh badan yang sihat?  Ini semua, tidak syak lagi, adalah bergantung kepada acuan pendidikan jua.  Kedudukan KUPU SB selaku pusat perguruan tinggi agama, bukan sahaja unik bagi Brunei, malahan juga dunia. Kerana yang sepertinya ini, belum lumrah lagi kita mendengarnya. Kerana itulah, kita perlu mengisinya dengan sesempurna-sempurna pengisian, sehingga tercapai semua visi dan misinya.

Salah satu pengisian itu ialah dengan memperkemas dan melengkapkannya dengan infrastruktur asas, seperti bangunan kampus baru, yang mampu untuk menampung banyak keperluan. Maka bagi tujuan ini, beta telah pun memperkenankan sebuah tapak untuk KUPU SB di Kampung Salambigar.  Dengan adanya kampus baru ini kelak, diharapkan KUPU SB akan lebih berdaya saing dan cemerlang dalam perkhidmatannya. Menyebut mengenai kecemerlangan ini, beta ingin mengingatkan kepada semua pihak agar bersikap lebih matang. Janganlah oleh kerana terlalu menurutkan hati untuk semata-mata mengejar kecemerlangan, sehingga mengabaikan pihak-pihak yang lain, yang juga sama-sama dituntut untuk cemerlang.  Misalnya dalam keghairahan menghantar penuntut-penuntut keluar negeri, Sekolah Menengah Arab adalah pembekal utamanya. Ia akan membekalkan calon-calonnya keluar negara, sementara  UNISSA dan KUPU SB juga sama-sama berhajat kepada mereka.  Lulusan sekolah menengah Arab ini, akan menyandang, sama ada pangkat cemerlang, atau sangat baik, atau baik, ataupun setakat lulus.  Beta difahamkan, pada kelazimannya, yang akan dihantar keluar ialah mereka yang berpangkat cemerlang atau sangat baik sahaja. Sementara yang lain-lain hanya di dalam negeri. Namun pada akhir-akhir ini, calon berpangkat baik pun turut dibenarkan keluar juga.

Kita menyedari, keghairahan untuk menyambung pengajian keluar negeri memanglah tinggi. Sebab itu jarang orang melepaskan peluang ini. Namun persoalan yang timbul, jika kita berabis membenarkan calon-calon cemerlang dan yang sangat baik keluar, maka siapakah yang akan tinggal untuk mengisi UNISSA dan KUPU SB? Tentu sahaja mereka yang di tahap paling bawah.  Akibat dari ini, tidakkah mungkin akan menjadikan UNISSA dan KUPU SB ketandusan penuntut yang berkualiti, serta juga boleh menjejaskan pertumbuhannya dengan ketara?  Oleh itu beta melihat, pihak-pihak yang berkaitan, perlulah meneliti hal ini dengan semasak-masaknya melalui perundingan-perundingan atau permuzakarahan - permuzakarahan. Rangkalah strategi yang tepat dan buat dasar serta wujudkan syarat-syarat munasabah tentang siapa yang patut dihantar keluar dan siapa pula yang wajar tinggal untuk memakmurkan pusat-pusat pengajian tinggi kita sendiri.  Kalau untuk keluar ada calon cemerlang dan sangat baik, mengapakah untuk UNISSA  dan KUPU SB tidak ada?

Pada pendapat beta, semua ini akan mudah diatasi apabila kita mempunyai kriteria-kriteria atau dasar-dasar yang selaras dengan kepentingan jangka panjang negara. Cubalah fikirkan.  Akhirnya, beta merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua para graduan yang menerima ijazah, diploma dan sijil mereka pada hari ini. Beta berharap, para graduan akan dapat menyumbangkan ilmu mereka demi pembangunan pendidikan secara khusus dan pembangunan umat Islam secara amnya.  Demikian juga ucapan yang sama dan terima kasih kepada pihak-pihak berkenaan KU PUSB, khasnya kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, pegawai-pegawai utama, staf akademik, pegawai pentadbir dan seluruh kakitangan kolej universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka yang telah dicurahkan. Mudah-mudahan Allah jua yang akan membalas dengan rahmat-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Thank you for your attention